Friday, October 8, 2010

Suami, isteri mesti bijak urus konflik

(artikel ini dipetik dari akhbar utusan / berita harian bertarikh 14 jun 2005 kalu tak silap)

Mukadimah
SELAGI bumi berputar, masa beredar isu rumah tangga dan keluarga tidak akan habis biarpun beratus kali dibawa ke dewan persidangan, seminar mahupun meja perbincangan.
Kelahiran insan yang cemerlang jati dirinya hinggalah kepada insan yang cacat moralnya, segala bermula dari sebuah institusi kecil tersebut yang di dalamnya ada ibu, bapa dan anak-anak.

Umpama membangunkan sebuah syarikat perniagaan, begitu juga dalam membentuk sebuah keluarga di mana segala kemahiran serta pengalaman memahami dan menguruskan konflik antara resipi keutuhan mahligai rumah tangga yang dibina.

Wartawan ROSMAH DAIN memaparkan beberapa perbincangan isu penting tentang rumah tangga dan keluarga yang dihasilkan di dalam Seminar Islam Hadhari Keluarga Berkualiti anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
PERKAHWINAN merupakan satu perkara yang dituntut oleh al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w., bahkan perhubungan di antara suami isteri disebut sebagai salah satu rahmat dan tanda kebesaran Allah S.W.T kepada manusia.

Di alam perkahwinan, pasangan suami isteri akan hidup dalam keadaan berkasih sayang, tenang dan harmoni serta berbelas kasihan dan bertimbang rasa.
Bagaimanapun, dalam menjalani kehidupan suami isteri, pasangan perlu menyedari bahawa perkahwinan adalah perkongsian dua insan yang berlainan jantina dan latar belakang keluarga.

Justeru, akibat daripada kelainan berkenaan akan mempengaruhi cara berfikir, sikap, nilai dan cita rasa yang mencetuskan isu-isu yang boleh menyebabkan salah faham.
Lazimnya, salah faham akan mendatangkan konflik dalam rumah tangga yang mana situasi dan reaksi pasangan suami isteri tidak lagi sejajar dengan gambaran alam perkahwinan yang disebutkan.

Menurut Ketua Hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Hassan Basri Syafie, faktor-faktor utama yang menjadi punca atau menjadi isu kepada konflik rumah tangga ialah apabila salah seorang pasangan atau kedua-duanya tidak mempunyai persediaan yang lengkap berkenaan alam rumah tangga.
Pada masa yang sama mereka juga tidak mempunyai perancangan serta pengurusan sumber keluarga yang baik.

``Apabila berlaku konflik di antara pasangan tanpa ada sebarang penyelesaian, akan menyebabkan salah seorang atau kedua-duanya diselubungi perasaan tertekan membuatkan mereka tidak ceria atau tidak mesra.

``Selain itu pasangan akan kurang memberi perhatian terhadap peranan atau tanggungjawab masing-masing, serta sering bertengkar yang boleh mencetuskan krisis lebih turut dalam perhubungan suami isteri,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kemahiran Menyelesaikan Konflik Rumah Tangga.
Hassan Basri seterusnya berkata, apabila perkara berikut berlaku secara berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian di antara kedua belah pihak mahupun orang tengah, maka berlaku perceraian sebagai jalan terakhir.

Beliau memberitahu, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), terdapat lapan faktor yang menyebabkan perceraian.

Faktor-faktor berkenaan ialah tidak bertanggungjawab yang meliputi 21 peratus, tiada persefahaman (19.23 peratus), penyalahgunaan dadah (13.77 peratus) masalah orang ketiga (13 peratus), campur tangan keluarga (12 peratus), masalah kewangan (8.69 peratus), penderaan (7 peratus) dan masalah seksual (5 peratus).

Sementara dalam perbincangan munakahat pula beliau berkata, terdapat tiga bentuk konflik yang akan dihadapi oleh suami isteri, iaitu nusyuz yang dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan, kedua syiqaq iaitu perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca-mencerca dan pukul memukul.

Ketiga pula dharar, iaitu penganiayaan suami seperti memukul dan mendera isteri sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlak dan taat kepada suami.

``Sekiranya berlaku kemungkinan nusyuz di pihak isteri, suami sebenarnya boleh bertindak memberi nasihat kepada isteri dengan kasih sayang atau mendapatkan khidmat nasihat daripada keluarga terdekat dan mengambil ta`dib (pengajaran) kepada isteri.

``Tetapi jika masalah masih berterusan suami mungkin boleh mengambil langkah terakhir iaitu membawa perkara ini ke mahkamah syariah untuk dibicarakan dan biar mahkamah memutuskannya,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, apabila pihak nusyuz berlaku di pihak suami, isteri boleh membuat aduan kepada perunding keluarga atau mengemukakan kes mereka di mahkamah syariah untuk ditangani.

Suami isteri yang menghadapi syiqaq pula perlu mengadakan sulh (perbincangan), yang biasanya dihadiri oleh wakil keluarga atau penasihat atau dibicarakan di peringkat mahkamah.

Manakala, isteri yang mengalami penderaan atau penganiayaan daripada suami seperti dipukul, mereka boleh mendapatkan saksi dan seterusnya membuat pengaduan di mahkamah untuk dibicarakan.

``Konflik rumah tangga bukanlah sesuatu yang diharapkan dalam kehidupan berumah tangga dan selalunya hasil daripada konflik yang dihadapi ialah keruntuhan rumah tangga dan anak-anak akan terbiar.

``Justeru setiap daripada pasangan perlu bersedia untuk mengelak daripada menimbulkan dan berhadapan dengan konflik,'' katanya.
Hassan Basri seterusnya memberikan beberapa panduan yang boleh dilakukan oleh pasangan dalam membuat persediaan diri untuk mengelak konflik.

``Sentiasa mengesan perubahan air muka, gerak geri dan percakapan pasangan, di samping mengelak daripada berprasangka buruk dan jangan mengumpul kemarahan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

``Sekiranya suami sedar isteri melakukan kesilapan atau sebaliknya, hendaklah dia membantu pasangannya memperbaiki kesilapan dan membuat perubahan serta memberikan motivasi,'' katanya.

Tambahnya, sekiranya berhadapan dengan sesuatu isu, pasangan perlu menyatakan pendapat secara terbuka, tidak mengkritik atau menyerang pasangan dan menghadapi bersama dan saling bertolak ansur.

Selain itu, perlu sentiasa bersikap terbuka, sedia menerima pandangan pasangan, tidak cepat melenting serta membiasakan diri dengan memohon maaf apabila menyedari kesilapan.

``Apabila berlaku masalah yang melibatkan pasangan, jangan mendapatkan nasihat daripada orang luar yang tidak mempunyai kepakaran atau orang yang memusuhi suami mahu pun isteri.

``Konflik rumah tangga adalah sesuatu yang lumrah, maka kehidupan suami isteri dalam menguruskan konflik adalah bergantung kepada tahap, punca dan bentuk konflik yang mereka tangani,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails