Friday, December 3, 2010

Suami nusyuz


KITA sering mendengar alasan nusyuz atau derhaka oleh suami dalam memberikan justifikasi bagi menafikan tuntutan isteri terhadap segala hak mereka dalam rumah tangga. Ia seperti nafkah bulanan, tunggakan saraan hidup mahupun tuntutan yang lebih besar seperti mutaah, tempat tinggal dan harta sepencarian.
Jarang sekali kita mendengar persoalan suami ‘nusyuz’, suami ingkar atau durhaka terhadap isteri mereka. Malahan ada yang terkejut apabila saya mengutarakan isu ini semasa mengendalikan beberapa program celik undang-undang bagi wanita anjuran Jabatan Pembangunan Wanita.
Ada juga yang mengatakan ia tidak pernah dibicarakan dalam mana-mana kitab.
Tidak dinafikan dalam Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, tiada sebarang peruntukan bagi menjelaskan kedudukan suami ‘nusyuz’ terhadap isteri mereka.
Namun isu ini adalah isu yang hangat diperbincangkan oleh golongan ulama mahupun mereka yang terlibat dalam bidang undang-undang syarie hingga kekeliruan terjadi. Akibatnya sebahagian besar berpandangan nusyuz hanyalah kesan tindakan yang dilakukan oleh isteri dalam kehidupan berumah tangga.
Hakikatnya Allah SWT melalui Surah An-Nisa’ (4) ayat 128 dengan jelas menzahirkan persoalan ini melalui mafhum firmannya: “Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir . Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tidak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
Melalui ayat ini adalah sangat jelas bahawa golongan suami juga boleh menjadi nusyuz melalui tindak-tanduknya dalam menerajui rumah tangga.
Justeru, menurut perundangan Islam yang sebenar, nusyuz boleh membabitkan kelakuan pihak suami serta isteri dan bukan hanya kelakuan isteri sahaja. Al-Quran menyebut tentang nusyuz oleh pihak suami (melalui Surah 4:128 yang dinyatakan di atas) dan nusyuz oleh pihak isteri (melalui Surah 4:34).
Almarhum Prof. Hamka dalam kitabnya Tafsir Al-Azhar Juzuk 5 muka surat 1,452 telah mengupas persoalan ‘suami nusyuz’ ini. Antara lain beliau menyatakan: “Nusyuz yang sebaliknya iaitu si suami yang tidak senang atau telah benci atau telah bosan kepada isterinya. Hal ini biasa terjadi pada orang yang beristeri lebih dari satu atau telah jatuh hati kepada perempuan lain.”
Sesetengah ulama berpendapat, nusyuz dari pihak suami terjadi apabila suami bersikap keras terhadap isterinya, tidak mahu menggaulinya dan tidak memberikan hak isterinya mengikut lunas syarak.
Adalah jelas, persoalan nusyuz dalam rumah tangga bukan hanya boleh terjadi akibat daripada perlakuan dan tindakan isteri semata-mata.
Suami juga boleh menjadi ‘nusyuz’ melalui tindakan, pengabaian dan perlakuan mereka dalam mentadbir rumah tangga.
Lebih menarik, menurut Muhammad Thalib dalam bukunya 30 Perilaku Durhaka Suami Terhadap Isteri, suami boleh dianggap ‘nusyuz’ terhadap isterinya dalam hal-hal antara lain seperti berikut:
*Gagal atau enggan memberikan nafkah (zahir atau batin).
*Gagal menyediakan tempat tinggal yang selamat.
*Tidak membayar mahar.
*Menyebabkan kemudaratan (memukul) tubuh badan isteri.
*Membebankan isteri.
*Memperlakukan isteri dengan kasar.
*Merosakkan martabat isteri.
*Menghalau isteri tanpa alasan dan
*Menuduh isteri berzina tanpa saksi.
Keharmonian rumah tangga perlu dijadikan asas pembinaan sebuah keluarga bahagia.
Janganlah mana-mana pasangan sama ada suami atau isteri melakukan tindakan mahupun perbuatan yang boleh dianggap nusyuz antara satu sama lain.
Justeru, marilah kita menyedari (terutamanya golongan lelaki) bahawa kadang kala ketika menuding jari kepada isteri dalam hal-hal penolakan mereka terhadap arahan dan suruhan suami, sebenarnya suamilah pada peringkat permulaannya yang telah gagal, ingkar atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Ini berkemungkinan besar menjurus kepada suami menjadi nusyuz kepada isteri tersebut. Ingat! suami juga boleh nusyuz terhadap isteri.

Friday, October 8, 2010

Rahsia mengekal perkahwinan bahagia

(lupa artikel ni dipetik dari mana)

MEMBINA dan mengekalkan sebuah perkahwinan bahagia bukannya boleh dilakukan dalam sekelip mata. Ia memerlukan waktu dan hendaklah disusuli dengan usaha.
Sebenarnya, dalam melayari kehidupan rumah tangga, kita juga tidak boleh elak daripada berhadapan dengan bebanan kerja, kerenah anak-anak dan rutin harian. Tanpa sedar, keadaan itu membuatkan kita lupa untuk memelihara perhubungan dan beranggapan suami tidak kisah mengenainya.

Andai diri masih leka, hayatilah beberapa panduan di bawah khusus untuk mengingatkan anda mengenai pentingnya membina sebuah perhubungan yang bahagia. Mungkin, melalui panduan tersebut dapat membantu anda dalam mewujudkan sebuah perkahwinan yang bahagia selamanya.

Belajar berkomunikasi secara efektif

Komunikasi adalah kunci utama dalam sebuah perkahwinan atau perhubungan yang utuh dan sihat. Komunikasi yang efektif memerlukan anda menjadi seorang pendengar yang setia. Jangan segera memberikan pandangan. Dengar sahaja apa yang ingin diperkatakan pasangan anda. Jika perlu meluahkan sesuatu, luahkan apa yang anda rasa secara positif dan jujur.

Luangkan masa bersama

Andai diri tiada masalah untuk berkomunikasi dengan efektif, carilah masa untuk mewujudkan satu perbualan bermakna antara kamu berdua. Pastikan ia bebas daripada sebarang gangguan. Contohnya, untuk pastikan anda benar-benar berkomunikasi bersama pasangan, tutup dahulu televisyen yang ada di hadapan anda. Ataupun, ambil peluang berbual dalam suasana malam yang sunyi di rumah.

Pergaduhan secara adil

Jangan mengharapkan diri sentiasa bersetuju dalam semua perkara. Paling penting dalam menyelesaikan konflik yang timbul adalah dengan menghormati perasaan pasangan anda, biarpun ketika itu sedang bertengkar.
Biarkan suami/isteri tahu bahawa anda sedang menilai kata-katanya meski diri tidak bersetuju dengannya.
Cuba elak mengkritik, mencemuh, mengenepikan atau menolak pasangan ataupun pandangan mereka.
Jika diri berasa kecewa atau marah, tinggalkan perbualan itu dan sambung semula di masa yang lain.
Nota - Andai terasa diri mungkin akan mencederakan pasangan anda, segeralah berlalu dan biarkan dia bersendirian. Cuba dapatkan bantuan secepat mungkin.

Beri komitmen dalam perhubungan

Pastikan anda sentiasa mengutamakan perhubungan atau rumah tangga dalam kehidupan anda.
Sebuah perhubungan adalah satu usaha yang berterusan. Oleh itu, ia memerlukan perhatian dan usaha untuk berkembang. Tidak kira betapa sibuk pun diri anda, cuba luangkan masa berkualiti bersama walaupun terpaksa mengatur semula jadual dalam diari.
Raikan pencapaian diri masing-masing secara bersama. Sekiranya dihimpit kesusahan, berilah sokongan dan galakan kepadanya.

Luahkan rasa penghargaan anda

Ucapan terima kasih mungkin dilihat remeh, tetapi ia boleh membuatkan pasangan anda rasa dirinya istimewa dan dihargai.
Walaupun mungkin dia tahu bahawa kita mengambil berat mengenai dirinya, ia tidak menyakitkan untuk mengucapkan terima kasih biarpun untuk kerja yang dilakukan setiap hari seperti memasak, menidurkan anak atau membuang sampah.
Kekalkan gurauan dalam kehidupan seharian. Selalulah ketawa bersama pasangan. Kekalkan gurauan boleh melegakan tekanan dan tegangan. Malah, ia dapat membantu anda melalui saat-saat sukar bersama.

Belajar bertolak ansur

Bertolak ansur amat penting dalam apa juga perhubungan, terutamanya perkahwinan. Jika tidak bersetuju dalam sesuatu isu, bincanglah dalam keadaan yang tenang. Biarkan masing-masing menjelaskan pandangannya dan cari jalan penyelesaian setelah mengambil kira pandangan kedua-dua pihak.

Saling memaafkan

Dalam perkahwinan, ada ketikanya pasangan melakukan kesilapan atau berkata sesuatu yang melukakan hati, tidak kira ia dilakukan dengan sengaja atau tidak. Saat itu, tidak salah untuk anda berasa marah. Tetapi, biarkanlah kemarahan itu berlalu. Sebenarnya, jika berterusan memikirkan tentang kekecewaan tersebut, sukar untuk anda membina perhubungan yang penuh dengan kasih sayang.

Kekalkan kemesraan

Perhubungan selalunya romantik pada tempoh permulaan. Tetapi, apabila masa berlalu dan pasangan beralih perhatian dengan perkara lain seperti kerja, anak-anak, bil dan rumah - akhirnya mereka akan mengambil sambil lewa tentang diri masing-masing.
Buatlah pasangan anda rasa istimewa, lakukan sesuatu yang romantik walaupun hanya satu perkara yang kecil.
Contohnya, bawakan sarapan pagi di katil, sesekali keluar makan malam, berjalan di pantai atau berkelah.

Cuba cari masa untuk diri sendiri

Memang normal untuk pasangan mempunyai hobi, minat dan kawan yang berbeza.
Biarpun, hakikatnya menghabiskan masa berkualiti bersama itu penting, sesekali anda juga perlukan masa untuk bersendirian atau bersantai bersama teman-teman.
Dengan mencari masa untuk diri sendiri, anda sebenarnya akan lebih menghargai diri pasangan anda.
Akhir sekali, andai telah mencuba pelbagai cara tetapi masih mengalami kesukaran dengan perkahwinan atau perhubungan, cubalah dapatkan bantuan, tidak kira melalui terapi, kaunseling perkahwinan ataupun meminta pandangan daripada kawan-kawan yang mampu membantu.

Suami mithali idaman isteri

( kalu tak silap artikel ni dipetik dari harian Metro bertarikh 12 jun 2008)

Sebagai lelaki, pernahkah terfikir untuk menjadikan diri sebagai orang dikagumi? Bukan saja memiliki perawakan menarik tetapi hadir dalam satu pakej yang penuh kesempurnaan sehingga menjadi teladan kepada semua - disayangi isteri, dihormati anak-anak, disanjung keluarga dan sekali gus berjaya dalam kehidupan dunia akhirat?

Kalaulah anda belum berpunya, pasti ramai yang bakal menjadi pemujanya. Namun berusahalah menjadi lelaki yang sempurna dan cuba memenuhi apa yang diinginkan wanita. Jika anda mengidam mendapat pasangan yang memenuhi segalanya, tidak salah sekiranya mencuba untuk menjadi lelaki yang sesempurna mungkin.
Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan anda mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang anda ada menepati apa yang dicari golongan hawa.

Pastinya jika ciri itu ada pada diri anda, tentunya anda lelaki paling bahagia di dunia ini kerana mampu memenuhi kehendak masyarakat, agama dan meletakkan kesempurnaan diri pada tahap yang sewajarnya.
Marilah kita selidiki kalau ciri-ciri atau petua yang dititipkan ini ada pada diri anda atau sememangnya ia sifat semula jadi anda. Tentu anda bakal diburu oleh wanita mendambakan lelaki seperti dimaksudkan.

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa mengenai hal ini.

2. Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai pasangan.

3. Suami ‘mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan isteri anda.

4. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

6. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

7. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

8. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan, kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.
18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘role model’. Hidupkan amalan sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut diberikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.
Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails