Tuesday, September 28, 2010

Cerai ekspres

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2010/09/28

(Artikel dipetik dari Berita harian – ruangan ratu 28 Sept. 2010)
Perceraian bukan jalan penyelesaian - Tangani masalah rumah tangga dengan matang

PERCERAIAN mungkin dilihat sebagai jalan penyelesaian masalah dan boleh merungkaikan kemelut rumah tangga yang berantakan serta tidak boleh diselamatkan lagi. Namun, apa yang menyedihkan jika perceraian atau perpisahan pasangan suami isteri itu berlaku pada usia perkahwinan masih muda lagi dan belum pun setahun rumah tangga itu dibina.

Kesannya, tentu ada dan tidak mustahil sebahagiannya impak negatif, sama ada kepada pasangan mahu pun keluarga kedua-dua pihak. Lebih teruk, jika pasangan itu dikurniakan anak, keadaan tentu lebih merumitkan. Belum pun sempat anak itu mengecapi hidup berkeluarga yang lengkap, ada ayah dan ibu, sudah berlaku kehancuran rumah tangga.

Melihat senario masa kini, realitinya ‘perceraian ekspres’ bukan kes terpencil, sebaliknya sudah pun banyak kes yang berlaku. Lebih membimbangkan, ia membabitkan pasangan pengantin baru yang masih muda. Baru saja memasuki alam perkahwinan tetapi hanya kerana salah faham dan perselisihan kecil, mudah saja talak dilafazkan dan berlaku perceraian.

Ada juga pihak melahirkan kegusaran kerana ada yang menjadikan trend berkahwin, semata-mata untuk mendapatkan gelaran janda kerana menganggap gelaran itu ada pasaran tersendiri, maksudnya mereka ini akan mendapat status tersendiri, kononnya lebih mahal berbanding anak dara.

Berkongsi pandangan mengenai isu itu, Ketua Eksekutif Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat, berkata tidak dinafikan sejak kebelakangan ini kes masalah rumah tangga ada unsur perceraian adalah antara paling tinggi dirujuk di pusat kaunseling dan ditangani selain masalah gejala sosial dan isu remaja.

Norazman berkata, dalam sebulan pusat kaunseling MAINS menerima antara 40 kes hingga 60 kes membabitkan kes masalah perkahwinan dan kebanyakannya berkaitan isu perceraian. Majoriti pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling adalah golongan yang masih dalam awal perkahwinan iaitu antara lima hingga 10 tahun mendirikan rumah tangga. Tidak kurang yang tempoh perkahwinan tidak sampai setahun dan masing-masing memutuskan untuk tidak bersama lagi.

“Masalahnya, kebanyakan pasangan yang datang mendapatkan khidmat kaunseling selepas krisis dihadapi mereka begitu kritikal dan sukar dirungkaikan serta sudah pun ada hasrat untuk bercerai. Tidak kurang juga ada yang datang ke sini selepas melafazkan talak,” katanya.

Norazman berkata, senario ‘cerai ekspres’ atau berkahwin dalam tempoh singkat terutama di kalangan pasangan muda, sememangnya membimbangkan dan membawa kesan tertentu.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana pasangan tiada matlamat jelas dalam perkahwinan yang dibina, sebaliknya mendirikan rumah tangga sekadar memenuhi tuntutan. Misalnya, orang lain berkahwin, dirinya juga ingin berbuat demikian dan ada pula yang mendirikan rumah tangga kerana tidak mahu menanggung dosa bersekedudukan, tanpa memahami apa sebenarnya erti serta tanggungjawab yang harus dipikul.

“Persediaan tidak ada untuk menjadi suami atau pun isteri. Walaupun mahu berkahwin ada yang langsung tidak mahu mencari atau menambah ilmu, seolah-olah perkahwinan itu dilakukan atas dasar suka-suka saja. Mungkin ada yang kata sudah bersedia bergelar suami atau isteri tetapi untuk ke arah itu tiada persediaan dibuat. Bagi mendirikan rumah tangga, pasangan perlulah membuat persediaan yang baik dan ia tidaklah semestinya sempurna,” katanya.

Norazman menambah, menunaikan tanggungjawab bukanlah semudah seperti kata-kata. Justeru, perlulah ada sifat sabar, komitmen dan tolak ansur di samping perlu tunjukkan kesediaan bagi memikul amanah itu sebaik yang mungkin.

Katanya lagi, pasangan suami isteri harus ingat detik berkenalan sebelum berkahwin, sama ada bertunang atau berkasih sama sekali jauh berbeza dengan alam rumah tangga.

“Pasangan bukan saja boleh belajar melalui pengalaman peribadi tetapi juga orang lain, termasuk ibu bapa.
Jika ibu bapa ada membuat kesilapan, takkan ingin ulang semula? Berusahalah jadi yang terbaik dan kekuatan jati diri perlu ada,” katanya.

Antara faktor lain berlaku ‘cerai ekspres’ kata Norazman, faktor persekitaran masyarakat pada masa kini iaitu memberikan idea bahawa bercerai adalah jalan atau pilihan paling mudah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

Katanya, persekitaran tidak membantu memberikan sokongan supaya pasangan terbabit berdamai atau memberikan alternatif lain, sekali gus menjadi lebih mudah rumah tangga dibina hancur berkecai. Begitu juga restu dan keredaan ibu bapa penting sebelum berkahwin.

Mengenai kesan perceraian pada usia muda, Norazman berkata, ada yang negatif tetapi pada masa sama boleh dilihat dari sudut positif. Bagi lelaki misalnya, barangkali ada yang melihat individu terbabit belum ada kualiti menjadi tunggak utama keluarga.

“Lelaki mungkin sedikit impak negatif, malah walaupun ada yang sudah bergelar duda, masih lagi sentiasa menganggapnya dirinya bujang. Lebih-lebih lagi, jika perkahwinan itu tidak dikurniakan anak. Bagi wanita, khususnya yang muda, gelaran janda boleh memberikan konotasi yang tidak elok. Pasangan bercerai ada anak lagi timbul banyak masalah yang perlu diselesaikan seperti hak penjagaan dan nafkah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Norazman, bercerai ketika usia masih muda ada kala mungkin lebih baik jika dibandingkan bercerai apabila mencecah usia yang meningkat dan mungkin sudah bercucu.

“Kegagalan membina rumah tangga pada usia masih muda boleh juga memberikan pengajaran dan pengalaman kepada individu berkenaan. Mana tahu, bagi perkahwinan seterusnya individu terbabit lebih bersedia. Apa pun, dalam membina rumah tangga janganlah berpegang pada budaya try and error kerana perkahwinan adalah sepanjang hayat dan itulah konsep sebenarnya,” katanya.

INFO:
Tiga perkara yang membolehkan suami menceraikan pasangan jika hanya diketahui selepas pernikahan:
·  Pasangan disahkan gila.                           
·  Pasangan berpenyakit sopak.
·  Pasangan berpenyakit kusta.
(Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan)

Antara punca pasangan suami isteri bercerai dalam tempoh singkat:
·  Kegagalan mendewasakan diri, ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
·  Ada kalanya pasangan seolah-olah terlupa sudah bergelar isteri atau suami dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar hanya perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.
·  Apabila mentua atau orang luar gemar masuk campur dalam hal rumah tangga pasangan, walaupun mereka tidak perlu melakukannya.
·  Pasangan gagal mengenali hati budi pasangan masing-masing. Sebaik-baiknya jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails