Hak Suami Isteri Membuat Tuntutan Selepas Perceraian |
Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah nafkah eddah, tunggakan nafkah isteri, mut'ah, hak mendapatkan tempat tinggal, harta sepencarian, hak jagaan anak (hadhanah) dan nafkah anak. 1. Nafkah Eddah Nafkah eddah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam temph eddah raji'e disebabkan sesuatu penceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syara'. 2. Mut'ah Mut'ah ialah satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah mengikut Huku Syara'. Kadar mut'ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut'ah tersebut. 3. Harta Sepencarian Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan bekuatkuasa mengikut syarat-syarat ditentukan oleh Hukum Syara'. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidang kuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Tuntutan Harta Sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah. 4. Hak Jagaan Anak (Hadanah) Hadanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Mengikut Hukum Syara' dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan). Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa. Tuntutan Hak Jagaan Anak (Hadhanah) ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah. 5. Nafkah Anak Nafkah anak ialah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain. Nafkah Anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya. 6. Tunggakan Nafkah Tunggakan Nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah. 7. Hak Tempat Tinggal Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia dalam perkahwinan selama eddah. Nota peringatan: Segala makluamat di dalam risalah ini hanyalah sebagai panduan sahaja dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah di dalam mana-mana prosiding Mahkamah. |
..:: aidil fitri 2015 ::..
9 years ago
No comments:
Post a Comment