Friday, October 8, 2010

Rahsia jadi isteri solehah

(artikel ni kalu tak silap di petik dari harian Metro, tarikh lupa la tak catit.

ADA yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), memakai purdah atau pandai membaca al-Quran?

Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.

Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.

Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.
Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.


Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.
Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.
Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.


Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.
Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.


Kadangkala kita tertanya-tanya mengapa sesetengah lelaki suka mencari pelacur untuk memuaskan nafsu. Tidakkah mereka takut dengan hukum Allah dan risiko jangkitan penyakit yang boleh mereka dapat.
Sebenarnya, sesetengah lelaki gemar mencari perempuan lacur kerana mereka mendapat layanan kelas satu ketika bersama wanita berkenaan. Mereka tidak mendapatnya ketika di rumah apatah lagi isteri yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabai nafkah batin kepada suami.


Mungkin ada yang berkata, wanita lacur memberi layanan kelas satu kerana mereka dibayar atau mendapat tip.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.
Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.
Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah.


Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.
Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.
Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.


Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.

Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.
Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia bernama lelaki.
Adakah isteri juga mahu suami memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan layanan kelas satu? Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian, jangan melenting jika dikatakan mereka juga sama dengan pelacur.

Suami, isteri mesti bijak urus konflik

(artikel ini dipetik dari akhbar utusan / berita harian bertarikh 14 jun 2005 kalu tak silap)

Mukadimah
SELAGI bumi berputar, masa beredar isu rumah tangga dan keluarga tidak akan habis biarpun beratus kali dibawa ke dewan persidangan, seminar mahupun meja perbincangan.
Kelahiran insan yang cemerlang jati dirinya hinggalah kepada insan yang cacat moralnya, segala bermula dari sebuah institusi kecil tersebut yang di dalamnya ada ibu, bapa dan anak-anak.

Umpama membangunkan sebuah syarikat perniagaan, begitu juga dalam membentuk sebuah keluarga di mana segala kemahiran serta pengalaman memahami dan menguruskan konflik antara resipi keutuhan mahligai rumah tangga yang dibina.

Wartawan ROSMAH DAIN memaparkan beberapa perbincangan isu penting tentang rumah tangga dan keluarga yang dihasilkan di dalam Seminar Islam Hadhari Keluarga Berkualiti anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
PERKAHWINAN merupakan satu perkara yang dituntut oleh al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w., bahkan perhubungan di antara suami isteri disebut sebagai salah satu rahmat dan tanda kebesaran Allah S.W.T kepada manusia.

Di alam perkahwinan, pasangan suami isteri akan hidup dalam keadaan berkasih sayang, tenang dan harmoni serta berbelas kasihan dan bertimbang rasa.
Bagaimanapun, dalam menjalani kehidupan suami isteri, pasangan perlu menyedari bahawa perkahwinan adalah perkongsian dua insan yang berlainan jantina dan latar belakang keluarga.

Justeru, akibat daripada kelainan berkenaan akan mempengaruhi cara berfikir, sikap, nilai dan cita rasa yang mencetuskan isu-isu yang boleh menyebabkan salah faham.
Lazimnya, salah faham akan mendatangkan konflik dalam rumah tangga yang mana situasi dan reaksi pasangan suami isteri tidak lagi sejajar dengan gambaran alam perkahwinan yang disebutkan.

Menurut Ketua Hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Hassan Basri Syafie, faktor-faktor utama yang menjadi punca atau menjadi isu kepada konflik rumah tangga ialah apabila salah seorang pasangan atau kedua-duanya tidak mempunyai persediaan yang lengkap berkenaan alam rumah tangga.
Pada masa yang sama mereka juga tidak mempunyai perancangan serta pengurusan sumber keluarga yang baik.

``Apabila berlaku konflik di antara pasangan tanpa ada sebarang penyelesaian, akan menyebabkan salah seorang atau kedua-duanya diselubungi perasaan tertekan membuatkan mereka tidak ceria atau tidak mesra.

``Selain itu pasangan akan kurang memberi perhatian terhadap peranan atau tanggungjawab masing-masing, serta sering bertengkar yang boleh mencetuskan krisis lebih turut dalam perhubungan suami isteri,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kemahiran Menyelesaikan Konflik Rumah Tangga.
Hassan Basri seterusnya berkata, apabila perkara berikut berlaku secara berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian di antara kedua belah pihak mahupun orang tengah, maka berlaku perceraian sebagai jalan terakhir.

Beliau memberitahu, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), terdapat lapan faktor yang menyebabkan perceraian.

Faktor-faktor berkenaan ialah tidak bertanggungjawab yang meliputi 21 peratus, tiada persefahaman (19.23 peratus), penyalahgunaan dadah (13.77 peratus) masalah orang ketiga (13 peratus), campur tangan keluarga (12 peratus), masalah kewangan (8.69 peratus), penderaan (7 peratus) dan masalah seksual (5 peratus).

Sementara dalam perbincangan munakahat pula beliau berkata, terdapat tiga bentuk konflik yang akan dihadapi oleh suami isteri, iaitu nusyuz yang dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan, kedua syiqaq iaitu perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca-mencerca dan pukul memukul.

Ketiga pula dharar, iaitu penganiayaan suami seperti memukul dan mendera isteri sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlak dan taat kepada suami.

``Sekiranya berlaku kemungkinan nusyuz di pihak isteri, suami sebenarnya boleh bertindak memberi nasihat kepada isteri dengan kasih sayang atau mendapatkan khidmat nasihat daripada keluarga terdekat dan mengambil ta`dib (pengajaran) kepada isteri.

``Tetapi jika masalah masih berterusan suami mungkin boleh mengambil langkah terakhir iaitu membawa perkara ini ke mahkamah syariah untuk dibicarakan dan biar mahkamah memutuskannya,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, apabila pihak nusyuz berlaku di pihak suami, isteri boleh membuat aduan kepada perunding keluarga atau mengemukakan kes mereka di mahkamah syariah untuk ditangani.

Suami isteri yang menghadapi syiqaq pula perlu mengadakan sulh (perbincangan), yang biasanya dihadiri oleh wakil keluarga atau penasihat atau dibicarakan di peringkat mahkamah.

Manakala, isteri yang mengalami penderaan atau penganiayaan daripada suami seperti dipukul, mereka boleh mendapatkan saksi dan seterusnya membuat pengaduan di mahkamah untuk dibicarakan.

``Konflik rumah tangga bukanlah sesuatu yang diharapkan dalam kehidupan berumah tangga dan selalunya hasil daripada konflik yang dihadapi ialah keruntuhan rumah tangga dan anak-anak akan terbiar.

``Justeru setiap daripada pasangan perlu bersedia untuk mengelak daripada menimbulkan dan berhadapan dengan konflik,'' katanya.
Hassan Basri seterusnya memberikan beberapa panduan yang boleh dilakukan oleh pasangan dalam membuat persediaan diri untuk mengelak konflik.

``Sentiasa mengesan perubahan air muka, gerak geri dan percakapan pasangan, di samping mengelak daripada berprasangka buruk dan jangan mengumpul kemarahan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

``Sekiranya suami sedar isteri melakukan kesilapan atau sebaliknya, hendaklah dia membantu pasangannya memperbaiki kesilapan dan membuat perubahan serta memberikan motivasi,'' katanya.

Tambahnya, sekiranya berhadapan dengan sesuatu isu, pasangan perlu menyatakan pendapat secara terbuka, tidak mengkritik atau menyerang pasangan dan menghadapi bersama dan saling bertolak ansur.

Selain itu, perlu sentiasa bersikap terbuka, sedia menerima pandangan pasangan, tidak cepat melenting serta membiasakan diri dengan memohon maaf apabila menyedari kesilapan.

``Apabila berlaku masalah yang melibatkan pasangan, jangan mendapatkan nasihat daripada orang luar yang tidak mempunyai kepakaran atau orang yang memusuhi suami mahu pun isteri.

``Konflik rumah tangga adalah sesuatu yang lumrah, maka kehidupan suami isteri dalam menguruskan konflik adalah bergantung kepada tahap, punca dan bentuk konflik yang mereka tangani,'' katanya.

Pertengkaran penting dalam perhubungan?

[Dipetik dari UTUSAN MALAYSIA      ~    tarikh:  20 Julai 2009]

Susunan DIYANA ROSE KAMALUDDEN
PERBEZAAN pendapat atau pertikaman lidah adalah perkara biasa dalam sesuatu perhubungan. Malah umum mengetahui bahawa perhubungan tanpa sebarang pertelingkahan biasanya sukar untuk bertahan dan putus di tengah jalan.

Mengapa pertengkaran penting?

Ini kerana, bertengkar dapat memberi kita peluang untuk melihat pilihan sedia ada dalam apa jua situasi. Kita selalunya dikaburi dengan pendapat sendiri sehingga gagal melihat pandangan orang lain terhadap sesuatu perkara.

Seperti contoh, kita percaya bahawa anak-anak tidak patut diberikan wang. Semua duit mereka perlu disimpan dalam bank untuk kegunaan masa depan mereka sendiri. Kedengaran logik bukan?

Bagaimanapun, pasangan anda mungkin berpendapat bahawa dengan memberikan anak wang, mereka akan belajar menilai wang dan menimba pengalaman sendiri betapa sukarnya untuk menyimpan.

Lebih banyak mereka simpan, banyak lagi benda penting yang boleh mereka beli di kemudian hari. Bukankah itu pandangan yang lebih baik?
Jadi, bagaimana sebenarnya boleh pertengkaran dibentuk untuk menghasilkan keputusan yang lebih positif? Hanya ada satu perkara yang boleh dilakukan.

Peraturan utama pertengkaran adalah persediaan

Sediakan peraturan sebelum memulakan apa-apa. Ingatkah anda sewaktu cinta mampu mengatasi segala-galanya? Ketika si dia lewat dua jam untuk temujanji dan anda masih mampu tersenyum apabila dia tiba. Cuba duduk dan bincang dengan pasangan mengenai peraturan-peraturan kecil pada ketika itu.

Bincangkan hal ini - "Dalam sesuatu isu (pertengkaran), bagaimana anda dan pasangan menyelesaikannya?"

Berikut adalah beberapa cadangan yang kedua-dua anda boleh mencapai kata sepakat dalam perbincangan ini.

Bertengkar hanya apabila pertengkaran itu boleh membantu anda berdua menjadi orang yang lebih baik.

Tidak ada sebab untuk bergaduh mengenai siapa yang patut membuang sampah. Seseorang masih perlu melakukannya, jika tidak, rumah anda akan mula berbau. Jika kedua-duanya masih lagi tersangkut dalam pertengkaran yang tiada penghujungnya itu, salah seorang patut mengingatkan pasangan lain bahawa ia memang tidak berbaloi langsung.

Jangan sesekali serang ego

Tidak ada lelaki yang sabar dipanggil pengecut, sama seperti wanita tidak suka dilayani seperti hamba! Perjelaskan kepada pasangan sempadan itu dan pastikan dia faham.
Seperti contoh, wanita tidak suka dimarahi lelaki di khalayak ramai, jadi si lelaki perlu tahu hal ini dan walaupun tidak suka, dia perlu menangani isu tersebut secara peribadi.
Juga, jangan panggil pasangan dengan nama-nama hina atau mengeji.

Hanya seorang bercakap pada satu masa.

Pertengkaran tidak akan menjadi positif apabila ia menjadi 'persembahan duet' oleh anda dan pasangan. Ini apabila kedua-duanya menjerit ke arah satu sama lain pada masa yang sama.
Bagaimana hendak kenal pasti masalah jika tidak ada yang mendengar? Tapi jangan pula kedua-duanya membisu.

Tentukan pemenang dan yang tewas

Pastinya pertengkaran itu menjadi sempurna apabila hasilnya adalah situasi menang-menang. Tetapi, ada kes di mana keputusannya berat sebelah. Contohnya, jika suami ditugaskan mengurus hal-hal kewangan, hampir semua perselisihan faham mengenai wang akan dimenangi suami.

Sediakan peraturan bagaimana untuk menjadi pemenang atau sebaliknya. Seperti contoh, pemenang harus menghormati pihak yang tewas.

Bersetuju mengguna orang ketiga

Hanya apabila pertengkaran sukar diselesaikan dan kedua-dua pihak tidak bersedia untuk berkompromi. Orang ketiga perlu 'ditugaskan' terlebih dahulu seperti kawan baik atau ahli keluarga terdekat.

Orang ketiga akan membantu pasangan itu mencapai kata sepakat. Dia juga mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berdasarkan perbalahan itu dan pasangan berkenaan harus menerimanya walau apa pun.
Bagaimanapun tindakan ini tidak digalakkan kerana boleh menjejaskan kehidupan peribadi pasangan dan orang ketiga terbabit.
Mana-mana pihak boleh meninggalkan pertengkaran pada bila-bila masa (tempoh bertenang).
Adalah normal berlaku tahap kemarahan akan membuak-buak ketika bertengkar terutama apabila menyentuh hal peribadi.

Pasangan perlu bersepakat terlebih dahulu bahawa salah seorang boleh meminta dibiar bersendirian untuk satu tempoh sebagai waktu bertenang.
Perkara ini boleh membantu terutama apabila ketika marah, pertimbangan akan dikaburi emosi dan kita tidak dapat melihat dengan jelas pilihan yang lebih baik.
Ini sebenarnya peraturan yang paling sukar kerana kemarahan memerlukan seluruh kekuatan yang ada hanya untuk mengawalnya.

Berlatih bertengkar

Walaupun kedengaran pelik, tapi apa salahnya. Atur beberapa masa untuk berlatih mengendalikan pertengkaran. Cuba gunakan permohonan tempoh bertenang, atau pihak ketiga atau tidak menyerang ego.
Ia boleh menyentuh apa jua isu, ingat, tujuannya adalah untuk berlatih peraturan-peraturan penting di atas sebelum anda dan pasangan benar-benar bersedia untuk bertengkar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails