Tuesday, September 28, 2010

Cerai ekspres

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2010/09/28

(Artikel dipetik dari Berita harian – ruangan ratu 28 Sept. 2010)
Perceraian bukan jalan penyelesaian - Tangani masalah rumah tangga dengan matang

PERCERAIAN mungkin dilihat sebagai jalan penyelesaian masalah dan boleh merungkaikan kemelut rumah tangga yang berantakan serta tidak boleh diselamatkan lagi. Namun, apa yang menyedihkan jika perceraian atau perpisahan pasangan suami isteri itu berlaku pada usia perkahwinan masih muda lagi dan belum pun setahun rumah tangga itu dibina.

Kesannya, tentu ada dan tidak mustahil sebahagiannya impak negatif, sama ada kepada pasangan mahu pun keluarga kedua-dua pihak. Lebih teruk, jika pasangan itu dikurniakan anak, keadaan tentu lebih merumitkan. Belum pun sempat anak itu mengecapi hidup berkeluarga yang lengkap, ada ayah dan ibu, sudah berlaku kehancuran rumah tangga.

Melihat senario masa kini, realitinya ‘perceraian ekspres’ bukan kes terpencil, sebaliknya sudah pun banyak kes yang berlaku. Lebih membimbangkan, ia membabitkan pasangan pengantin baru yang masih muda. Baru saja memasuki alam perkahwinan tetapi hanya kerana salah faham dan perselisihan kecil, mudah saja talak dilafazkan dan berlaku perceraian.

Ada juga pihak melahirkan kegusaran kerana ada yang menjadikan trend berkahwin, semata-mata untuk mendapatkan gelaran janda kerana menganggap gelaran itu ada pasaran tersendiri, maksudnya mereka ini akan mendapat status tersendiri, kononnya lebih mahal berbanding anak dara.

Berkongsi pandangan mengenai isu itu, Ketua Eksekutif Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat, berkata tidak dinafikan sejak kebelakangan ini kes masalah rumah tangga ada unsur perceraian adalah antara paling tinggi dirujuk di pusat kaunseling dan ditangani selain masalah gejala sosial dan isu remaja.

Norazman berkata, dalam sebulan pusat kaunseling MAINS menerima antara 40 kes hingga 60 kes membabitkan kes masalah perkahwinan dan kebanyakannya berkaitan isu perceraian. Majoriti pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling adalah golongan yang masih dalam awal perkahwinan iaitu antara lima hingga 10 tahun mendirikan rumah tangga. Tidak kurang yang tempoh perkahwinan tidak sampai setahun dan masing-masing memutuskan untuk tidak bersama lagi.

“Masalahnya, kebanyakan pasangan yang datang mendapatkan khidmat kaunseling selepas krisis dihadapi mereka begitu kritikal dan sukar dirungkaikan serta sudah pun ada hasrat untuk bercerai. Tidak kurang juga ada yang datang ke sini selepas melafazkan talak,” katanya.

Norazman berkata, senario ‘cerai ekspres’ atau berkahwin dalam tempoh singkat terutama di kalangan pasangan muda, sememangnya membimbangkan dan membawa kesan tertentu.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana pasangan tiada matlamat jelas dalam perkahwinan yang dibina, sebaliknya mendirikan rumah tangga sekadar memenuhi tuntutan. Misalnya, orang lain berkahwin, dirinya juga ingin berbuat demikian dan ada pula yang mendirikan rumah tangga kerana tidak mahu menanggung dosa bersekedudukan, tanpa memahami apa sebenarnya erti serta tanggungjawab yang harus dipikul.

“Persediaan tidak ada untuk menjadi suami atau pun isteri. Walaupun mahu berkahwin ada yang langsung tidak mahu mencari atau menambah ilmu, seolah-olah perkahwinan itu dilakukan atas dasar suka-suka saja. Mungkin ada yang kata sudah bersedia bergelar suami atau isteri tetapi untuk ke arah itu tiada persediaan dibuat. Bagi mendirikan rumah tangga, pasangan perlulah membuat persediaan yang baik dan ia tidaklah semestinya sempurna,” katanya.

Norazman menambah, menunaikan tanggungjawab bukanlah semudah seperti kata-kata. Justeru, perlulah ada sifat sabar, komitmen dan tolak ansur di samping perlu tunjukkan kesediaan bagi memikul amanah itu sebaik yang mungkin.

Katanya lagi, pasangan suami isteri harus ingat detik berkenalan sebelum berkahwin, sama ada bertunang atau berkasih sama sekali jauh berbeza dengan alam rumah tangga.

“Pasangan bukan saja boleh belajar melalui pengalaman peribadi tetapi juga orang lain, termasuk ibu bapa.
Jika ibu bapa ada membuat kesilapan, takkan ingin ulang semula? Berusahalah jadi yang terbaik dan kekuatan jati diri perlu ada,” katanya.

Antara faktor lain berlaku ‘cerai ekspres’ kata Norazman, faktor persekitaran masyarakat pada masa kini iaitu memberikan idea bahawa bercerai adalah jalan atau pilihan paling mudah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

Katanya, persekitaran tidak membantu memberikan sokongan supaya pasangan terbabit berdamai atau memberikan alternatif lain, sekali gus menjadi lebih mudah rumah tangga dibina hancur berkecai. Begitu juga restu dan keredaan ibu bapa penting sebelum berkahwin.

Mengenai kesan perceraian pada usia muda, Norazman berkata, ada yang negatif tetapi pada masa sama boleh dilihat dari sudut positif. Bagi lelaki misalnya, barangkali ada yang melihat individu terbabit belum ada kualiti menjadi tunggak utama keluarga.

“Lelaki mungkin sedikit impak negatif, malah walaupun ada yang sudah bergelar duda, masih lagi sentiasa menganggapnya dirinya bujang. Lebih-lebih lagi, jika perkahwinan itu tidak dikurniakan anak. Bagi wanita, khususnya yang muda, gelaran janda boleh memberikan konotasi yang tidak elok. Pasangan bercerai ada anak lagi timbul banyak masalah yang perlu diselesaikan seperti hak penjagaan dan nafkah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Norazman, bercerai ketika usia masih muda ada kala mungkin lebih baik jika dibandingkan bercerai apabila mencecah usia yang meningkat dan mungkin sudah bercucu.

“Kegagalan membina rumah tangga pada usia masih muda boleh juga memberikan pengajaran dan pengalaman kepada individu berkenaan. Mana tahu, bagi perkahwinan seterusnya individu terbabit lebih bersedia. Apa pun, dalam membina rumah tangga janganlah berpegang pada budaya try and error kerana perkahwinan adalah sepanjang hayat dan itulah konsep sebenarnya,” katanya.

INFO:
Tiga perkara yang membolehkan suami menceraikan pasangan jika hanya diketahui selepas pernikahan:
·  Pasangan disahkan gila.                           
·  Pasangan berpenyakit sopak.
·  Pasangan berpenyakit kusta.
(Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan)

Antara punca pasangan suami isteri bercerai dalam tempoh singkat:
·  Kegagalan mendewasakan diri, ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
·  Ada kalanya pasangan seolah-olah terlupa sudah bergelar isteri atau suami dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar hanya perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.
·  Apabila mentua atau orang luar gemar masuk campur dalam hal rumah tangga pasangan, walaupun mereka tidak perlu melakukannya.
·  Pasangan gagal mengenali hati budi pasangan masing-masing. Sebaik-baiknya jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan

Thursday, September 23, 2010

Wanita menderita dalam diam

Wanita menderita dalam diam
Oleh Hariyati Ariffin
( dipetik dari Berita Harian – ruangan ratu)
2010/09/22

Sanggup mengorbankan hidup kerana tidak peka terhadap hak sebenar

BENARKAH ungkapan `lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks, wanita pula memberi seks untuk mendapatkan cinta’?

Tidak dapat dinyatakan dengan pasti kesahihan ungkapan itu, namun, banyak contoh menunjukkan kebanyakan wanita bersikap sedemikian sehingga ada ketikanya, keadaan itu mendedahkan mereka menjadikan mangsa keganasan lelaki, baik suami, teman lelaki mahu pun rakan.

Sikap lembut, penyabar dan sering beralah wanita menyebabkan mereka terpaksa menderita dalam diam kerana tidak mahu dianggap derhaka dan tidak setia kepada pasangan. Malah, ada wanita sanggup mengorbankan hidup dan keluarganya kerana tidak mahu melanggar adat dan agama.

Berdasarkan fakta itu, ia mungkin juga antara penyebab mengapa kes keganasan terhadap wanita kini semakin serius. Saban hari, ada saja kes keganasan terhadap wanita dipaparkan media.

Statistik Jabatan Pembangunan Wanita mencatatkan kes keganasan wanita yang mendapat perkhidmatan kaunseling pada 2008 ialah 957 kes. Jumlah itu meningkat kepada 1,633 pada 2009 dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 1,008 kes sudah dilaporkan.

Perkara ini harus diberi perhatian. Wanita harus diberi pendidikan dan kesedaran sewajarnya mengenai hak mereka. Berikutan itu, satu seminar Literasi Undang-undang Menangani Masalah Keganasan Terhadap Wanita dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd, berkata peningkatan statistik mengenai kes penderaan terhadap wanita mencerminkan mereka masih belum peka mengenai hak sebagai wanita yang dilindungi. Beliau berkata, wanita perlu sedar mereka mempunyai hak mempertahankan diri dari segi undang-undang jika didera.

“Didera suami sekali pun, keadaan itu perlu dibawa ke muka pengadilan. Jika mereka tidak bertindak, dikhuatiri gejala penderaan terus berleluasa hingga menyebabkan mereka diperlakukan sesuka hati.

“Senario ini amat menyedihkan kerana wanita masa kini adalah tunggak pembangunan negara. Jika isu ini tidak dibendung, negara akan rugi kerana tenaga dan kepakaran wanita amat diperlukan bagi membangunkan ekonomi dan pembangunan modal insan,” katanya.

Seminar seperti ini, kata Wan Hasmah, memberi penjelasan kepada peserta mengenai hak, pengetahuan, keyakinan dan kesedaran mengenai undang-undang apabila berdepan situasi tertentu seperti perkahwinan, perceraian, nafkah, gangguan seksual, rogol, cabul, pembuangan bayi dan eksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Ketika mengulas isu berkaitan, seorang peguam, Tengku Naufal Tengku Mansor, berkata keganasan terhadap wanita adalah jenayah dan pencabulan hak asasi terhadap mereka.

Beliau berkata, penderaan juga adalah bentuk keganasan wanita bukan saja dalam bentuk fizikal tetapi emosi dan psikologi, lazimnya dilakukan lelaki yang menganggap wanita tidak setaraf dan lemah.

Keganasan terhadap wanita, katanya, sudah menjadi isu global, tidak mengira golongan mahu pun taraf hidup.

Tengku Naufal berkata, bagi kategori penderaan fizikal, wanita sering dikasari dengan pelbagai cara menyakitkan antaranya, dipukul, ditoreh hingga nyawa mereka terancam.

Malah, katanya, usaha menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan mendapat perlindungan juga termasuk dalam kategori penderaan fizikal.

“Penderaan fizikal yang boleh mencederakan ini jelas melanggar hak asasi manusia. Perbuatan seumpama ini boleh dihukum. Kecederaan seumpama itu pastinya dapat dilihat. Bagaimana pula dengan penderaan emosi, tanpa disedari penderaan sedemikian menyebabkan mangsa berada dalam keadaan trauma dan sentiasa murung dan boleh menyebabkan gangguan mental,” katanya.

Lazimnya penderaan seperti itu, kata Tengku Naufal, berlaku dalam bentuk ugutan, tengking, herdik, cacian dan hinaan. Penderaan ini menjejaskan nilai harga diri seorang wanita. Keadaan berlarutan hinggakan mangsa mengalami perasaan rendah diri.

Jika isteri mengalami keadaan sedemikian, mangsa, kata beliau, tidak boleh berfungsi dengan baik sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. Jika dia berkerjaya dan memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi, pasti produktivitinya terjejas.

Selain penderaan fizikal, emosi dan psikologi, katanya, wanita juga terdedah kepada penderaan dan gangguan seksual. Gangguan sedemikian adalah perilaku atau pendekatan berkaitan seks tidak diingini. Ia termasuk permintaan melakukan seks dan perilaku lainnya yang secara verbal atau fizikal merujuk kepada seks.

Menurut Tengku Naufal lagi, dalam gangguan seksual, 10 peratus datangnya daripada ancaman, 10 peratus lagi intonasi (nada suara), iaitu gangguan berbentuk perkataan lucah, pujian berbaur seks dan perkataan yang boleh menjatuhkan maruah wanita manakala 80 peratus perbuatan atau non-verbal atau isyarat iaitu menjelirkan lidah, bermain mata, isyarat tangan, pandangan dan kerlingan.

Dalam zaman serba canggih kini, beliau berkata, gangguan boleh disebarkan dalam bentuk penghantaran visual lucah dan mesej berbaur seks serta ajakan seks menerusi telefon.

Gangguan seksual memberi kesan langsung kepada status pekerjaan wanita, sama ada untung atau rugi, kenaikan atau penurunan pangkat. Biasanya perkara ini berlaku daripada pihak atasan kepada pekerja.

Umpamanya rasuah seks, jika pekerja bawahan inginkan kenaikan pangkat mereka perlu memuaskan nafsu majikan mereka dan mengikut arahan yang bertentangan dengan etika kehidupan.

Dalam membendung isu keganasan itu, Tengku Naufal berkata, kerajaan menyediakan peruntukan khas mengikut undang-undang yang membela wanita daripada terus dianiaya.

Beberapa akta digubal bagi membela nasib wanita dan memberikan mereka peluang mengecapi kehidupan dengan lebih tenteram dan tenang. Kanun keseksaan Seksyen 509 ada menyebut sesiapa yang melakukan keganasan atau jenayah kepada wanita akan dikenakan tindakan mengikut kanun keseksaan berkenaan.

“Sudah tidak masanya kaum wanita bangkit dan memperjuangkan hak mereka. Bangun dari mimpi negeri dan sedar hak mereka dilindungi. Wanita adalah tunggak masa depan negara.
Meskipun wanita lembut, mereka bukan lemah,” katanya

Tuesday, September 21, 2010

Hak Suami Isteri Membuat Tuntutan Selepas Perceraian

Hak Suami Isteri Membuat Tuntutan Selepas Perceraian
 
Hubungan Kekeluaragaan dalam sistem rumahtangga islam tidak terhenti setakat lafaz cerai dilafazkan. Sistem kekeluargaan dalam Islam amat sempurna dan adil kepada semua pihak dikalangan ahli keluarga. Sungguhpun iktan pernikahan telah putus akibat jatuh talaq, Islam masih memberi ruang kepada pasangan suami isteri untk teru berhubung di antara satu dengan lain dengan batas-batas pergaulan yang diharuskan oleh Hukum Syara'. Matlamat ini amat murni bagi memastikan hak-hak bekas suami isteri dan anak-anak dilindungi.
Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah nafkah eddah, tunggakan nafkah isteri, mut'ah, hak mendapatkan tempat tinggal, harta sepencarian, hak jagaan anak (hadhanah) dan nafkah anak.
1. Nafkah Eddah
Nafkah eddah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam temph eddah raji'e disebabkan sesuatu penceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syara'.
2. Mut'ah
Mut'ah ialah satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah mengikut Huku Syara'. Kadar mut'ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut'ah tersebut.
3. Harta Sepencarian
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan bekuatkuasa mengikut syarat-syarat ditentukan oleh Hukum Syara'. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidang kuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.
Tuntutan Harta Sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
4. Hak Jagaan Anak (Hadanah)
Hadanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.
Mengikut Hukum Syara' dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).
Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.
Tuntutan Hak Jagaan Anak (Hadhanah) ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
5. Nafkah Anak
Nafkah anak ialah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.
Nafkah Anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.
6. Tunggakan Nafkah
Tunggakan Nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.
7. Hak Tempat Tinggal
Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia dalam perkahwinan selama eddah.
Nota peringatan:
Segala makluamat di dalam risalah ini hanyalah sebagai panduan sahaja dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah di dalam mana-mana prosiding Mahkamah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails